Tuesday, June 19, 2007

Derita Wan Nor Azlin -- > tak jugak insaf, berubah jadik baik, pakai tudung. lagi kaler rambut ada laa

Derita Wan Nor Azlin

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

Eksklusif bersama Wan Nor Azlin

  • Nafi bercerai: Dalam tempoh empat tahun dunianya hanyalah rumah tangga

    KUALA LUMPUR: "Kehidupan saya biasa saja. Saya kini sibuk menguruskan keluarga, terutama anak," kata pelakon, Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain, 38, yang pernah dikaitkan dengan satu peristiwa hitam sehingga menyebabkan dia menyepikan diri daripada dunia hiburan sejak empat tahun lalu.

    Dalam temubual eksklusif bersama Metro Ahad baru-baru ini, Wan Nor Azlin yang sinonim dengan watak 'air mata' berkata, dalam tempoh empat tahun itu dunianya hanyalah rumah tangganya.

    "Saya sanggup lakukan apa saja, asalkan rumah tangga saya bahagia," katanya, sekali gus menafikan desas-desus mengatakan perkahwinannya bersama peguam, Mohd Yazli Yaacob, 38, berakhir dengan perceraian.

    Menurut Wan Nor Azlin, dia tidak mahu peristiwa hitam yang dikaitkan dengan dirinya dulu diungkit kembali kerana dia mengakui sudah puas menderita.

    "Tolong jangan sebut langsung (mengenai peristiwa hitam yang dikaitkan dengan dirinya). Saya tidak pernah memberi apa-apa kenyataan mengenainya dan saya tidak mahu ia diungkit semula.

    "Cukuplah penderitaan yang terpaksa saya tanggung. Bukan saya saja yang menderita, tetapi orang tua dan adik beradik saya turut terkena tempiasnya," katanya.

    Wan Nor Azlin berkata, empat tahun lalu dia benar-benar tertekan, tetapi demi anak dan rumah tangganya, dia cuba memperbaiki kehidupannya dari semasa ke semasa.

    "Apa yang saya lalui sukar digambarkan dengan perkataan. Bukan mudah untuk saya menempuhnya. Bagaimanapun alhamdulillah, perlahan-perlahan saya bangkit dan meneruskan kehidupan seperti orang lain. Selepas peristiwa itu, saya juga mula kenal siapa kawan dan siapa lawan," katanya.

    Ditanya mengenai khabar angin mengatakan dia bersama suami dan anak melarikan diri ke luar negara selepas dikaitkan dengan 'peristiwa hitam' itu, Wan Nor Azlin meminta orang ramai supaya tidak mempercayainya.


    "Saya sekeluarga tidak lari ke mana-mana. Dakwaan itu tidak benar," katanya.

    Menurut Wan Nor Azlin, dia bersyukur kerana orang tuanya memahami apa yang berlaku kepadanya dan sentiasa memberinya semangat.

    "Pengorbanan mereka (ayah dan ibu) terlalu besar, walaupun ada pihak menyisih mereka," katanya yang kelihatan kurus berbanding ketika kelibatnya kerap menghiasi akhbar dan majalah sebelum muncul peristiwa hitam dalam kehidupannya.

    Ketabahan ibu bapa menjadikan Wan Nor Azlin lebih kuat menghadapi apa jua cabaran yang datang.

    "Saya tidak dapat gambarkan jika ibu bapa saya menyisihkan saya," katanya.

    Wan Nor Azlin juga berkata, dia mengakui rindu dengan dunia lakonan yang pernah melonjakkan namanya sebaris dengan pelakon popular lain satu ketika dulu.

    "Saya pernah memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia lakonan. Jadi, apabila terlalu lama tidak berlakon, memang timbul keinginan untuk berlakon semula.

    "Jika ada peluang, saya mahu melakukannya (berlakon semula) secara perlahan-lahan kerana saya sedar bukan semua orang suka dengan keputusan ini.

    "Mungkin saya akan bermula dengan teater," katanya yang pernah merangkul Anugerah Pelakon Wanita TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2001 menerusi drama Takbir Untuk Abdah.

    Ditanya pernahkah dia ditawarkan berlakon sepanjang empat tahun 'menghilang', Wan Nor Azlin berkata: "Tidak pernah. Mungkin penerbit takut mengambil saya berlakon."

    Menurut Wan Nor Azlin, keinginannya berlakon semula turut didorong oleh permintaan peminat.

    "Ketika di luar, ada yang mendekati saya dan bertanya bila saya akan berlakon semula. Ia benar-benar membuatkan saya terharu," katanya.

    Selain peminat, Wan Nor Azlin berkata, rakan artis, terutama 'pelakon lama' yang masih berhubung dengannya, juga sentiasa bertanya, malah memberi galakan supaya dia kembali semula ke dunia lakonan.

    Sepanjang bergelar pelakon, Wan Nor Azlin membintangi lebih 200 drama dan teater.


    Antara drama ialah Pahlawan Ulung, Dari Mana Nak Ke Mana, Jalinan Kasih, Bangsar, Takbir Untuk Abdah, Generasi 3 dan Wanita, manakala teater pula Tanah Abang dan Rumah Manusia.

    Wan Nor Azlin juga pernah membintangi dua filem, iaitu Antara Gadis pada 1992 dan Azam pada 1997.

    Sepanjang terbabit dalam dunia lakonan, Wan Nor Azlin pernah 'berehat' kira-kira tiga tahun kerana memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangganya.

    Bagaimanapun, pada 2003, dia membuat kemunculan semula apabila membintangi telemovie Airmata Ibu, terbitan Suria Records Sdn Bhd (SRC) yang dihasilkan dalam bentuk cakera padat video (VCD).

  • No comments: