Thursday, June 21, 2007

Al-tantuya -kes melampaui batas

Ekslusif: Hujah pembukaan pihak pendakwaraya
saga!


Kenyataan penuh pendakwaraya
Lagi gambar menarik di dalam

Azilah bin Hadri, Orang Kena Tuduh Pertama (selepas ini dirujuk sebagai OKT1) dan Sirul Azhar bin Haji Umar, Orang Kena Tuduh Kedua (Selepas ini dirujuk sebagai OKT2) telah dituduh melakukan satu kesalahan membunuh dengan niat bersama yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama terhadap seorang wanita bernama Altantuya Shaariibuu (selepas ini dirujuk sebagai si mati) seorang warganegara Mongolia antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga jam 1 pagi 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja di dalam daerah Petaling, di dalam negeri Selangor.


majid

"Si mati juga telah menyatakan di dalam notanya kepada OKT3 bahawa sekiranya OKT3 enggan memberinya wang, nyawa anak OKT3 akan terancam..." Tun Majid


Abdul Razak bin Abdullah, Orang Kena Tuduh Ketiga (selepas ini dirujuk sebagai OKT3) pula dituduh bersubahat di dalam pembunuhan yang dilakukan oleh kedua-dua OKT1 dan OKT2 iaitu satu kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 109 kanun yang sama.


3. Di dalam membuktikan kepada mahkamah bahawa kedua-dua OKT1 dan OKT2 ini adalah orang yang melakukan dan melaksanakan pembunuhan terhadap si mati, manakala OKT3 melakukan pembunuhan dengan cara bersubahat dengan OKT1 dan OKT2, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan keterangan ikut keadaan melampaui keraguan yang munasabah.


razak

Razak, Azilah dan Sirul di mahkamah tinggi Shah Alam pagi tadi


4. Keterangan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi menunjukkan bahawa OKT3 mengenali si mati sejak tahun 2004 dan sering berjumpa si mati. OKT3 juga sering memberi bantuan kewangan kepada si mati apabila diminta oleh si mati semasa mereka menjalin hubungan. Hubungan di antara OKT3 dan si mati terputus pada Ogos 2005 namun OKT3 masih memberi wang kepada si mati apabila dituntut oleh si mati. Namun pada awal tahun 2006, OKT3 telah mula enggan melayan tuntutan wang dari si mati dan si mati tidak berpuashati dan telah datang ke Malaysia beberapa kali untuk berjumpa OKT3 dan menuntut wang daripadanya.


5. Keterangan akan dibawa bagi menunjukkan si mati telah mengupah seorang penyiasat persendirian untuk tujuan membantunya mengesan tempat tinggal OKT3.


6. Seterusnya keterangan akan dibawa bagi menunjukkan bahawa si mati telah datang ke Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2006 bersama dengan dua wanita Mongolia yang merupakan kawannya bertujuan untuk menemani si mati berjumpa dengan OKT3 di Kuala Lumpur. Si mati dan dua wanita Mongolia tersebut telah menyewa di Hotel Malaya, Kuala Lumpur. Keterangan akan dibawa bagi menunjukkan si mati telah cuba untuk menemui OKT3 beberapa kali di pejabatnya namun gagal kerana OKT3 tidak mahu bertemu dengannya. Keterangan akan dikemukakan bagi menunjukkan si mati telah meninggalkan nota-nota kepada OKT3 bagi menunjukkan hasratnya untuk bertemu OKT3 dan menuntut wang dari OKT3. Si mati juga telah menyatakan di dalam notanya kepada OKT3 bahawa sekiranya OKT3 enggan memberinya wang, nyawa anak OKT3 akan terancam.


7. Bagi mengelak dari terus diganggu dengan tuntutan wang dan ancaman oleh si mati. OKT3 telah mengupah seorang penyiasat persendirian bagi mengekori si mati dan mengawal rumahnya untuk mengelak dari terus diganggu dan didatangi si mati. Keterangan akan dibawa bagi menunjukkan walaupun setelah pegawai penyiasat persendirian diupah bagi menjaganya, si mati masih terus mengganggu dan mengugut OKT3.


8. Keterangan akan dikemukakan bagi menunjukkan OKT3 telah menceritakan masalah dan ugutan yang diterimanya dari si mati kepada seorang rakannya yang merupakan seorang pegawai kanan polis dan telah meminta nasihat darinya. Rakannya itu telah memberi nasihat kepada OKT3 untuk membuat laporan polis memandangkan ancaman yang dibuat oleh si mati adalah serius. Namun OKT3 tidak membuat laporan polis sebagaimana dinasihatkan. Dalam pada itu, OKT3 meminta rakannya itu agar merahsiakan apa yang diceritakan kepadanya. OKT3 kemudiannya telah meminta rakannya itu untuk memperkenalkan seorang pegawai polis dari balai polis Brickfields untuk membantunya menyelesaikan masalahnya dengan si mati.


9. Rakannya itu telah menyatakan beliau ada seorang rakan yang merupakan seorang pegawai Unit Tindakan Khas Polis iaitu OKT1 yang mengenali seorang pegawsai polis di IPD Brickfields. Rakannya itu telah memberi nombor telefon OKT1 kepada OKT3 untuk dihubunginya. Keterangan akan ditunjukkan bahawa OKT1 dan OKT3 telah membuat pertemuan di pejabat OKT3 pada 18 Oktober 2006 antara jam 9.54 pagi hingga 11.05 pagi. Keterangan juga akan dibawa bagi menunjukkan OKT1 tidak memperkenalkan mana-mana pegawai polis dari Brickfields untuk tujuan membantu OKT3 sebaliknya telah bertindak membuat perancangan dengan OKT1 untuk melakukan pembunuhan terhadap si mati. Pihak pendakwaan akan membuktikan fakta ini melalui keterangan ikut keadaan.


10. Keterangan juga akan dibawa bagi menunjukkan beberapa jam selepas pertemuan antara OKT1 dan OKT3 di pejabat OKT3, OKT1 telah membawa bersama OKT2 yang merupakan anggota UTK bawah kepada OKT1 ke hotel Malaya yang mana mereka telah dilihat berada di lobi hotel Malaya, iaitu hotel di mana si mati menginap. Dalam pada itu keterangan juga akan dibawa bagi menunjukkan sekeping nota yang tercatit nama penyiasat persendirian OKT3, alamat tempat tinggal si mati, nombor telefon si mati dan nama si mati telah dirampas dari pejabat OKT1. Semua keterangan ini menunjukkan hubung-kait di antara pertemuan OKT3 dengan OKT1 dan sebab-sebab kehadiran OKT1 dan OKT2 di lobi hotel berkenaan.


mama

Air mata seorang isteri...


11. Pendakwaan juga akan membawa keterangan bagi menunjukkan si mati datang ke rumah OKT3 untuk bertemu dengannya dan apabila gagal bertemu dengan OKT3, si mati telah membuat kacau di hadapan rumah OKT3. Berikutan dengan gangguan di hadapan rumah OKT3 tersebut, si mati telah dibawa ke balai polis untuk tujuan membuat laporan polis, namun OKT3 melalui penyiasat persendiriannya telah meminta si mati untuk tidak membuat laporan polis kerana bimbang perkara ini akan mendapat publisiti di akhbar. Penyiasat persendirian OKT3 telah menasihatkan OKT3 untuk membuat laporan polis dan ini juga tidak diikuti oleh OKT3. Penyiasat persendirian OKT3 juga pernah mencadangkan agar bantuan pihak Imigresen diambil bagi menghantar si mati pulang, namun nasihat ini juga tidak dipedulikan.


12. Seterusnya pendakwaan akan membawa keterangan bahawa si mati telah datang ke rumah OKT3 pada malam 19 Oktober 2006. Keterangan akan dibawa bagi menunjukkan OKT3 mengetahui kehadiran si mati di rumahnya melalui penyiasat persendiriannya dan kemudiannya telah mengarahkan penyiasat persendiriannya untuk melayan si mati sehingga orangnya sampai. Selepas mendapat maklumat dari penyiasat persendiriannya, OKT3 telah menghubungi OKT1 dan keterangan akan menunjukkan bahawa OKT1 dan OKT2 datang mengambil si mati dengan kereta dan berakhir dengan kematian si mati. OKT1 dan OKT2 merupakan orang yang terakhir dilihat bersama si mati.


13. Keterangan ikut keadaan akan dibawa bagi menunjukkan si mati telah dibawa ke tempat kejadian pembunuhan dan di situ kedua-dua OKT iaitu OKT1 dan OKT2 telah meletup si mati dengan menggunakan bahan letupan. Keterangan akan dibawa bagi menunjukkan sebab-sebab kematian adalah “probable blast related injuries” sebagaimana laporan dari pakar patologis.


14. Keterangan saksi-saksi pada malam si mati dibawa dari rumah OKT3, gambar CCTV dan transaksi komunikasi melalui telefon akan dikemukakan bagi menunjukkan perkaitan perancangan di antara ketiga-tiga OKT pada malam tersebut di dalam melakukan pembunuhan terhadap si mati dengan meletupkannya.


15. Sementara itu, keterangan akan dikemukakan bagi menunjukkan si mati ada memberitahu rakan-rakannya sekiranya beliau tidak pulang ke hotel dalam tempoh dua atau tiga jam dari rumah OKT3 pada malam 19 Oktober 2006 itu, mereka perlu membuat laporan polis. Si mati juga ada membuat laporan polis mengenai ugutan yang diterimanya dan kegusaran hatinya lebih kurang lapan jam sebelum kehilangannya pada malam kejadian dan menyatakan sekiranya sesuatu berlaku kepadanya pihak polis perlu mencari seorang yang bernama “Razak Baginda”.


16. Keterangan melalui ahli kimia menunjukkan si mati adalah “biological daughter” kepada S Altantsetseg dan Setev Shaariibuu iaitu ibu bapa si mati. Keterangan melalui pakar bom pula akan menunjukkan si mati telah diletupkan dengan sejenis bahan letupan.


17. Beberapa barang milik si mati juga telah dirampas oleh pihak polis dari rumah OKT2. Akan dibuktikan juga barangan tersebut adalah barangan kepunyaan si mati melalui pengecaman oleh saksi-saksi pendakwaan dan melalui ujian DNA.


18. Selain dari itu, kereta OKT2 yang dirampas dari OKT2 telah dijumpai sepasang selipar yang terdapat kesan darah “blood stain” dan setelah analisa dilakukan oleh pihak kimia disahkan sebagai darah si mati melalui ujian DNA.


19. Keterangan juga akan dikemukakan untuk menunjukkan bahawa penemuan tempat di mana mangsa telah dibunuh telah ditunjukkan oleh OKT1.


20. Di dalam membuktikan kes terhadap kesemua OKT, pendakwaan akan bergantung kepada keterangan-keterangan langsung “direct evidence”, keterangan ikut keadaan “circumstantial evidence”, keterangan pakar, keterangan saintifik, keterangan-keterang
an dokumentar, pengakuan OKT2 kepada pegawai atasannya dan beberapa keterangan lain di samping mengaitkan beberapa barang-barang kes yang dijumpai dan dirampas untuk membuktikan bahawa OKT1 dan OKT2 telah melakukan pembunuhan terhadap si mati dan OKT3 telah bersubahat dengan mereka di dalam merancang dan memberi arahan agar si mati dihapuskan dengan cara dibunuh. Kesemua keterangan yang akan dibawa membuktikan satu kes yang melampaui tahap keraguan yang munasabah.

No comments: